Pendidikan Pencegahan Dadah Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Heights, Bukit Idaman, 68100 Batu Caves, Selangor.

VIDEO AADK - ECSTACY

SUMBER DARI AADK
 (AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN)

PIL ECSTACY



Ecstasy selalunya didapati sebagai tablet kecil berwarna putih, kuning coklat dan dari berbagai-bagai saiz, bentuk dan corak. Kebanyakan yang didapati di pasaran gelap adalah dari kekuatan 50-150mg sebiji. Selalunya dos yang diambil untuk mendatangkan kesan ialah 75-100mg. Walaubagaimanapun, seseorang mungkin memerlukan dos yang lebih untuk mendapatkan kesan yang sama akibat penggunaan yang berulang. Cara yang biasa ialah dengan menelannya walaupun pil ini berasa pahit. Pil Ecstasy boleh juga dihancurkan (ia juga didapati dalam bentuk serbuk) dan dihidu. Pil ini juga boleh dimasukkan dalam dubur di mana dadah ini boleh terserap. Ecstasy juga boleh didapati dalam bentuk cecair dan akhir-akhir ini di negara-negara Barat, cara pengambilan Ecstasy yang digemari ialah secara suntikan.


NAMA-NAMA LAIN ECSTASY

Ecstasy juga dikenali sebagai ‘the love drug’, ‘the yuppie drug’, ‘the dance drug’, ’pink lady’, dan ‘playboy’; bergantung kepada corak yang tertera di pil berkenaan. Nama-nama ini juga sering berubah setiap beberapa bulan. 


KESAN SEGERA ECSTASY
Ecstasy membuat penggunanya merasa gembira, seronok, tenang, bersikap lebih terbuka, sensitif kepada sentuhan, cepat mesra dan senang berdamping dengan orang lain ( dari situ terbitnya nama ‘love drug’). Pengguna merasa yakin, daya penarikan diri meningkat dan tenang. Kesan ini ditambah lagi dengan bunyi muzik yang seiring dengan degupan jantung seseorang semasa di dewan tarian dan menyebabkan penggunanya menari dengan lebih rancak lagi dan untuk tempoh yang lebih lama. Terdapat pengurangan perilakuan persaingan dan agresif; dan seks di bawah kesan pil ini dirasa lebih lembut, lebih berahi dan lebih mesra. 
Walaubagaimanapun, pengguna Ecstasy juga boleh mengalami kesan yang buruk seperti degupan jantung menjadi kencang, suhu badan dan tekanan darah meningkat , mengetap rahang, mengancing gigi, mulut kering, muntah-muntah, hilang selera, kekejangan otot, berpeluh, rasa panas atau sejuk , dahaga, kurang pengeluaran air kencing, pening, risau, ketakutan, gelabah dan susah untuk tidur. Pengguna lelaki juga boleh mengalami masalah ereksi dan gagal menikmati kepuasan. Ada juga kalangan pengguna yang merasa terancam dan lemah, lebih-lebih lagi apabila bersama dengan mereka yang tidak dikenali. Kesan pengambilan Ecstasy melalui 3 fasa iaitu:

• Peringkat permulaan : pengguna merasa khayal dengan cepat 
• Peringkat tengah: pengguna merasa gembira, seronok dan tenang 
• Peringkat akhir: penggunanya merasa keletihan, murung, gentar, cemas, mudah meradang, kurang tumpuan, menghadapi masalah tidur dan merasa tidak selamat. 

Dengan pengunaan yang berulang, pengguna akan mengalami imbasan kejadian, di mana peristiwa kenangan silam kerap terjadi dan membingungkan. Pengguna yang mengidap penyakit darah tinggi, sakit jantung, masalah hati, sawan dan mempunyai sejarah gangguan mental dan kejutan panik akan mengalami risiko yang lebih dari kerosakan fizikal dan psikologi akibat Ecstasy. 
KESAN DOS TINGGI ATAU DOS BERLEBIHAN ECSTASY

Pada dos yang lebih tinggi Ecstasy tidak mendatang kesan yang lebih menyeronokkan tetapi sebaliknya menyebabkan muntah-muntah, perasaan terapung, perlakuan ganjil, menghadapi khayalan dan sawan. Dos yang tinggi menyebabkan suhu badan dan tekanan darah meningkat tinggi sementara degupan jantung menjadi bertambah kencang sehingga boleh membawa maut. Kesan ini lebih membahayakan mereka yang sememangnya menghadapi masalah jantung atau pernafasan, mereka yang menghadapi kemurungan dan lain-lain masalah psikologi. 

ECSTASY BOLEH MEMBAWA MAUT

Tiada terdapat kaitan di antara dos yang diambil dengan risiko kesan sampingan atau kematian. Seseorang boleh mati akibat sebiji pil. Kerapkali kematian berlaku ke atas seseorang yang pernah mengguna Ecstasy tanpa menunjukkan kesan buruk Ecstasy. Tiada siapa mengetahui bagaimana sesorang boleh mengalami kesan yang teruk sekali dengan penggunaan dadah ini. Kematian boleh terjadi kerana:

1. Kesan stimulan ecstasy 
- Tekanan darah yang tinggi, peningkatan suhu badan dan degupan jantung akibat dadah ini boleh menyebabkan serangan jantung dan pendarahan otak.

2. Kenaikan suhu badan 
- Kebanyakan kematian adalah sebab ini. Suhu badan yang meningkat akibat penggunaan dadah ini diburukkan lagi dengan kepanasan akibat aktiviti menari dengan rancak di dalam kelab malam dan disko yang panas. Tubuh pengguna Ecstasy gagal menggantikan galian yang hilang apabila berpeluh, dan kekurangan air dalam tubuh mengakibatkan tubuh pengguna cuba mengekalkan air dalam badan dengan menghentikan mekanisma berpeluh dan fungsi buah pinggang. Kenaikan suhu badan ini mengakibatkan sawan, koma, buah pinggang gagal berfungsi dan akhirnya maut.

3. Minum berlebihan. 
- Kematian juga pernah berlaku kerana penggguna meminum terlalu banyak air pada satu masa kerana kehausan. Dibawah pengaruh Ecstasy ada pengguna yang diketahui meminum air sehingga 20 liter dalam jangkamasa 3 jam. Perlakuan ini mencairkan lagi kepekatan darah sementara saiz sel dalam badan akan mengembang. Ini terutama sekali membahayakan otak yang membengkak dan berhimpit dengan tempurung kepala. Bahagian otak yang mengawal degupan jantung dan pernafasan akan rosak dan mangsa akan maut. Dadah ini juga mengeluarkan hormon yang menghalang buah pinggang dari berupaya mengeluarkan air yang berlebihan dan ini memburukkan lagi keadaan.

KESIMPULAN:

Penggunaan Ecstasy memudaratkan kesihatan kerana: 
i. Penggantungan psikologi di mana seseorang mendapati sukar untuk berhenti atau mengurangkan penggunaan Ecstasy. 
ii. Ecstasy merosakkan otak dan sistem saraf seseorang.
iii. Ecstasy merosakkan jantung dengan menyebabkan degupan jantung bertambah kencang dan tidak menentu, dan peningkatan tekanan darah.
iv. Ecstasy mendatangkan kerosakan buah pinggang. Ecstasy menyebabkan suhu badan meningkat dan kehilangan air dari badan yang banyak, mengakibatkan buah pinggang gagal berfungsi dan akhirnya membawa maut.
v. Gangguan pembekuan darah yang disebabkan oleh Ecstasy boleh menyebabkan perdarahan dalaman dan mendatangkan maut.
vi. Ecstasy boleh membahayakan bayi dalam kandungan dan menyebabkan keguguran kepada wanita yang mengandung. 
vii. Ecstasy boleh menyebabkan kemalangan jalanraya kerana penggunanya mengalami penglihatan yang kabur dan khayal semasa memandu.
viii. Bahaya kepada exploitasi seks dan seks bebas - Remaja terutama gadis-gadis di bawah pengaruh Ecstasy akan terdedah kepada bahaya ekploitasi seks serta hubungan jenis tidak selamat yang boleh menyebabkan jangkitan HIV, hepatitis dan lain-lain penyakit kelamin.
ix. Ecstasy juga mendatangkan masalah sosial kerana ia menjejaskan hubungan dengan keluarga dan orang lain. Keadaan pengguna yang sentiasa gelisah dan tidak menentu juga memburukkan lagi hubungannya dengan orang lain.


No comments:

Post a Comment