S. SUBRAMANIAM
Pakar Bedah Jantung dan Paru-Paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Khairulfaizi Haron berkata, walaupun peratusan untuk pengguna vape mendapat penyakit tersebut terlalu rendah, mereka perlu berwaspada dan berhati-hati.
“Oleh sebab itu, pengguna tegar rokok elektronik atau vape dinasihatkan agar berhenti daripada tabiat menghisap bahan tersebut. Penggunaan rokok elektronik yang disangkakan selamat berbanding rokok adalah tidak benar malah sebaliknya.
“Ramai yang menghisap vape bertujuan untuk berhenti daripada ketagihan merokok tetapi mereka perlu sedar bahawa kedua-dua tabiat itu akan memberi kesan buruk kepada penggunaannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan status penggunaan rokok elektronik dan risiko yang bakal dihadapi oleh penggunaannya dalam masa dua bulan.
Sehubungan itu menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menggesa para pengguna rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape berhenti daripada tabiat menghisap bahan tersebut sehingga status penggunaannya di negara ini dikeluarkan.
Tambah Khairulfaizi, kajian terperinci perlu dilakukan dengan kadar segera kerana penggunaan rokok elektronik semakin berkembang dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Sub-Kluster Farmakologi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Tariq Abdul Razak berkata, perkara yang perlu diberi perhatian adalah ber­kenaan dengan ketagihan seseorang individu itu.
“Kita bimbang penggunaan vape akan menimbulkan masalah yang lebih serius seperti penagihan dadah memandangkan kemunculan perisa ganja untuk rokok elektronik dalam kalangan masyarakat.
“Saya berpendapat adalah lebih baik sekiranya mereka yang menghisap vape dapat berhenti daripada terus menggunakannya,” katanya.